Untuk membuat pengesanan kerosakan pada sistem komputer, pengetahuan yang menyeluruh mengenai alat-alat pengujian dan prosedur pengujian adalah diperlukan. Pengetahuan ini dapat mengelakkan kemalangan seperti kejutan elektrik, kerosakan pada sistem komputer yang diuji dan kerosakan yang mungkin akan terjadi pada alat-alat pengujian. Pengetahuan mengenai kesesuaian alat-alat pengujian dapat menjimatkan masa dalam mengesan kerosakan.
Multimeter
Multimeter merupakan alat yang sangat berguna dalam membuat kerja-kerja mengenalpasti kerosakan. Multimeter biasanya dibahagikan kepada dua jenis iaitu:
Analog
Multimeter analog ini boleh digunakan untuk mengukur dan menyukat voltan AC, DC , arus dan rintangan. Terdapat pelbagai jenis multimeter analog yang boleh digunakan untuk menguji transistor dan kapasitor. Kebanyakan juruteknik menggunakan multimeter analog, kerana kosnya rendah jika dibandingkan dengan multimeter lain. Multimeter analog menggunakan jarum untuk membuat bacaan pada setiap ujikaji.
Digital
Multimeter jenis digital atau DMM menjalankan fungsi yang sama seperti multimeter analog tetapi ia menunjukkan bacaan secara digital pada paparan. Multimeter digital mempunyai bacaan ujiannya lebih tepat jika dibanding dengan multimeter analog.
Klip Logik
Klip logik dapat menunjukkan paras logik bagi kesemua pin-pin litar bersepadu. Dengan itu, perubahan keluaran dan masukan dapat diperhatikan dengan serentak. Oleh kerana klip logik mendapat bekalan kuasa daripada litar bersepadu yang diuji, maka adalah penting untuk memastikan bahawa klip logik tidak membebankan litar sepadu yang diuji.
Kuar Logik
Kuar logik dapat menunjukkan paras logik pada satu titik dengan rangkaian denyut. Ia amat berguna untuk mengesan kerosakan pada sistem berdigit. Meter voltan hanya dapat mengukur paras voltan yang tidak berubah atau mempunyai kadar perubahan yang perlahan . Kuar logik dapat menunjukkan paras logik yang mempunyai kadar perubahan yang tinggi. Satu keistimewaan kuar logik ialah dapat mengesan denyut yang mempunyai kadar ulangan yang rendah dan 'short duration'.
Penggunaan kuar logik bergantung kepada jenis dan pembuat. Kerosakan dapat dikesan dengan menguji keadaan logik pada tempat-tempat yang diketahui keadaan logiknya. Sebagai contoh, kuar logik boleh digunakan untuk memeriksa kehadiran denyut klok di keluaran untuk klok pada mikropemproses.
Semasa membuat pengujian adalah penting untuk memastikan bahawa kuar mestilah dibumikan pada bumi yang sama dengan komponen yang diuji. Ini adalah perlu untuk mengurangkan pepaku yang mungkin dikeluarkan oleh bekalan kuasa isyarat atau isyarat yang tidak diingini daripada memberi kesan kepada kuat logik ketika ianya digunakan.
Penjana Denyut
Penjana Denyut digunakan untuk mengeluarkan rangkaian denyutan di mana amplitud tempoh lebar denyut dan lewat masa dapat dikawal. Ini membolehkan penjana denyut mengeluarkan rangkaian denyut menyerupai isyarat yang terdapat di dalam litar logik bagi tujuan pengesanan kerosakan.
Osiloskop
Osiloskop adalah sebuah alat yang dapat menunjukkan gambar isyarat elektronik serta perubahannya. Osiloskop dapat menunjukkan perubahan nilai sesuatu isyarat elektronik untuk jangkamasa tertentu. Bila sesuatu isyarat itu mempunyai voltan yang tinggi, garisan yang ditunjukkan akan naik ke bahagian atas pada skrin osiloskop. Keadaan voltan yang rendah menyebabkan garisan turun ke bawah. Garisan yang ditunjukkan pada skrin osiloskop akan bergerak dari kiri ke kanan bagi menunjukkan perjalanan masa.
Osiloskop adalah sangat berguna dalam kerja-kerja servis dan membaiki komputer kerana ianya dapat menunjukkan keadaan digital tinggi dan rendah. Osiloskop juga boleh digunakan bagi melihat bentuk isyarat elektronik. Jika anda mengetahui isyarat tertentu yang akan dihasilkan oleh komputer, tetapi osiloskop menunjukkan isyarat yang berlainan, maka jelaslah bahawa ada sesuatu yang tidak betul atau rosak pada komputer berkenaan.
Osiloskop juga boleh digunakan bagi menguji ciri operasi beberapa komponen seperti transistor dan kapasitor dan juga boleh digunakan untuk mengambil bacaan voltan.
Bekalan Kuasa DC
Semasa menjalankan kerja-kerja servis, kadangkala anda mungkin perlu menggunakan kuasa pada bahagian tertentu pada litar atau papan induk dengan tidak menggunakan bekalan kuasa yang terdapat pada komputer. Untuk tujuan ini satu bekalan kuasa arus terus adalah sangat sesuai disediakan. Unit bekalan kuasa ini seharusnya dapat menghasilkan arus sebanyak satu atau dua Ampere pada +5-Volt untuk IC dan juga +12-Volt untuk peralatan seperti pemacu cakera.
Transformer Berubah
Transformer Berubah ini sangat berguna dalam kerja-kerja membaiki monitor. Kebanyakan monitor mengandungi litar sekatan-diri yang akan memutuskan bekalan kuasa monitor bila berlakunya litar pintas atau voltan pada tiub CRT monitor menjadi terlalu tinggi.
Dengan menggunakan Transformer Berubah anda boleh mengurangkan voltan untuk digunakan oleh monitor. Biasanya monitor beroperasi dengan menggunakan 240-Volt arus ulang-alik (AC). Dengan menggunakan Transformer Berubah anda dapat dengan perlahan menurunkan kepada 120-Volt atau kurang. Pada voltan 120-Volt ini, litar sekatan-diri pada monitor akan membenarkan komputer beroperasi dan bolehlah anda membuat ujiannya.
Besi Pemeteri
Litar bersepadu dan transistor akan mudah rosak jika terdedah kepada panas yang berlebihan. Oleh kerana ini jika anda memilih untuk membeli besi pemeteri (soldering iron) untuk digunakan pada litar digital atau litar komputer, besi pemeteri yang dipilih haruslah dapat mengeluarkan haba yang terhad. cepat dan berkesan bila kerja-kerja memeteri dijalankan. Jangan sekali-kali menggunakan besi pemeteri yang berkuasa tinggi kerana ia akan cepat memanas dan boleh merosakkan IC atau litar pada papan litar.
Sentiasa gunakan besi pemeteri berkuasa rendah yang mempunyai keupayaan dalam lingkungan 30 Watt. Besi pemeteri yang mempunyai hujung yang halus serta tajam adalah sesuai untuk kerja-kerja elektronik komputer. Pastikan juga anda membeli besi pemeteri jenis 'grounded tip' yang mempunyai palam tiga pin. Besi pemeteri jenis ini sangat sesuai digunakanpada IC jenis CMOS yang sangat sensitif kepada 'static'. Besi pemeteri yang suhunya boleh dikawal adalah sangat mustahak kerana habanya dapat dikawal untuk digunakan pada komponen yang berlainan.
Desoldering Bulb
Satu cara yang mudah utuk mengeluarkan pateri yang sedia ada adalah dengan menggunakan Desoldering Bulb. Untuk menggunakan Desoldering Bulb ini, mula-mula anda panaskan bahagian pateri yang hendak dikeluarkan dengan menggunakan besi pemeteri. Bila pateri pada sambungan telah cair, bawa muncung Desoldering Bulb berhampiran dengan pateri sambungan dan tekan bahagian pemegang Desoldering Bulb dengan kuat.
Penyedut Timah Pateri
Bila anda terpaksa mengeluarkan semula komponen yang rosak anda terpaksa memanaskan pateri yang menyambungkan komponen berkenaan dengan papan litar untuk mencairkan pateri dan akhirnya menggunakan Penyedut Pateri untuk menyedut pateri keluar dari tempat berkenaan. Bila pateri telah disedut keluar, maka komponen berkenaan dapat diceraikan daripada papan litar. Untuk menggunakan Penyedut Pateri, anda perlu tekan pada penekan yang mempunyai spring hingga rapat yang berlubang pada tempat pateri yang telah dipanaskan dan kemudian tekan butang 'trigger' dan spring akan terlepas hingga menghasilkan tindakan sedutan yang kuat dan boleh menarik timah pemeteri ke dalamnya.
Alat Memasang IC
Anda boleh memasukkan IC ke dalam soket dengan tidak menggunakan sebarang alat. Walau bagaimanapun adalah baik jika anda dapat menggunakan Alat Memasang IC. Dengan menggunakan alat ini anda terlebih dahulu dapat meluruskan semua pin pada IC, sebelum anda menolak atau memasang IC pada soket atau papan litar.
Playar Jenis Muncung Tirus
Playar jenis ini sesuai digunakan di tempat yang sempit dalam komputer. Berbagai jenis playar jenis muncung tirus dapat dibeli dalam pasaran.
Pemotong Diagonal
Pemotong jenis ini sesuai digunakan bagi memotong kaki komponen dan juga memotong satu atau dua pin IC. Pemotong jenis ini adalah sesuai untuk memotong kaki komponen seperti perintang dan kapasitor. Walau bagaimanapun anda hendaklah mengelakkannya daripada digunakan untuk komponen yang mudah rosak atau sensitif seperti IC dan transistor.
Penyepit Kecil
Bila terdapat komponen yang dengan tidak sengaja terjatuh ke dalam unit sistem komputer, maka perlulah anda menggunakan alat untuk memungutnya semula. Untuk tujuan ini anda bolehlah menggunakan penyepit kecil atau tweezer. Sebelum menggunakan tweezer, anda perlu berhati-hati kerana tweezer diperbuat daripada logam dan boleh mengalirkan arus elektrik, jadi sebelum menggunakannya pada komputer bekalan kuasa hendaklah ditutup terlebih dahulu.
|